Thursday, 10 January 2013

Palestin Aku Datang - part 5



Ini petikan dari Utusan Malaysia semasa kami mengahadiri Perhimpunan ke 25 tahun Hamas.Lagu yang berkumandang ni sekarang menjadi ringtone aku.

LAUNGAN nyanyian patriotik ‘Gegarkan Keamanan Israel’ oleh kumpulan nasyid Al-Wa'd ketika kumpulan 120 sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 yang dibawakan oleh Aman Palestin memasuki padang Kompleks Khatiba Khadrat di tengah-tengah Gaza City baru-baru ini memuncakkan satu tenaga baru di kalangan sukarelawan.

Kepenatan melalui perjalanan sejauh kira-kira 8,000 kilometer dari Kuala Lumpur melalui Mesir sehinggalah sukarelawan berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza tidak dirasai, malah, semangat baru mula memuncak untuk membantu saudara sesama Islam yang terkepung di tanah air sendiri.
Tidak ada seorang rakyat Gaza yang tidak mengenali Malaysia ketika disapa malah, mereka akan berebut untuk bergambar bersama-sama para sukarelawan selepas ungkapan ‘Malaizi’ (Malaysia) diucapkan ketika ditanya ‘Min ayna anta?’ (Awak dari mana?).

Malah, 120 sukarelawan Aman Palestin yang menyertai lebih 500,000 penduduk Gaza dengan membawa bendera Malaysia pada 7 Disember lalu diberikan laluan mudah untuk bersama-sama mereka meraikan kejayaan peperangan lapan hari dengan Israel yang berakhir dengan gencatan senjata baru-baru ini.
Berjalan kaki sejauh lebih 2 kilometer dari hotel penginapan sukarelawan di dalam cuaca sejuk mencecah 11 darjah Celsius juga tidak dirasai selepas sambutan hangat diberikan penduduk Gaza terhadap semua sukarelawan.

Getir
Itulah Gaza. Penduduk dan bandarnya seolah-olah merahmati perjalanan sukarelawan sejak dari Kuala Lumpur. Sejak bertolak pada 5 Disember lepas, perjalanan 120 sukarelawan oleh Aman Palestin tidak banyak halangan.

Berbanding kata-kata Ketua Misi Solidariti Gaza 2012, Anas Abdul Wahab yang menzahirkan pengalaman beliau melalui perjalanan getir ke Gaza sebelum ini membuatkan kami tidak senang duduk.
Manakan tidak, beliau menyatakan sebelum ini, pengalaman perjalanan dari Kaherah sebelum memasuki Gaza akan melebihi 10 jam. Malah, akan lebih lama jika masalah Imigresen di sempadan Mesir-Gaza tidak dapat diselesaikan.

Namun sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke Gaza, azan Maghrib kedengaran di Kompleks Imigresen dan Informasi Gaza dalam satu perjalanan yang lancar sejak berlepas kira-kira pukul 9 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Perhimpunan di Kompleks Khatiba Khadrat itu merupakan satu himpunan meraikan kemenangan terhadap peperangan dengan Israel selama lapan hari dan dalam masa yang sama untuk menyambut ulang tahun penubuhan Hamas yang ke-25.

Kibaran Jalur Gemilang di tengah-tengah kibaran bendera Hamas dan Palestin sambil nasyid dan laungan semangat berterusan tanpa henti sehinggalah pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh yang juga merupakan Perdana Menteri Palestin sekarang bersama-sama Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Mashaal secara simbolik muncul dari dalam ‘perut’ replika roket Briged Ezzedeen al-Qassam, M75 dan disambut dengan laungan Allahuakbar! beberapa kali.

Hak milik
“Palestin merupakan tanah tumpah darah kita dari laut (Mediterranean) ke sungai (di Jordan), dari utara ke selatan. Kita tidak boleh berganjak seinci pun dan kita juga tidak boleh menyerahkan apa yang menjadi hak milik kita.

“Tentangan merupakan cara yang paling baik untuk mendapatkan hak kita kembali - melalui perjuangan sama ada secara politik, diplomatik, perundangan dan populariti. Apa pun, semua itu tidak akan berjaya tanpa tentangan," kata Mashaal yang menerima tepukan gemuruh dari semua yang hadir.

Menariknya, semua penduduk Gaza yang hadir di perhimpunan itu tidak gentar dengan apa yang mereka alami sebelum ini.

Lebih satu pertiga dari keseluruhan rakyat Gaza seramai 1.5 juta keluar sejak pukul 7 pagi lagi untuk berada bersama-sama para pemimpin mereka.

Tidak kira yang tua, muda, lelaki, perempuan, kanak-kanak mahupun bayi berada bersama-sama semua yang ada tidak berganjak walaupun hujan sesekali dan seketika lebat.
Malah semakin ramai terus memenuhi Kompleks Khatiba Khadrat yang sebelum ini turut dibom oleh jet pejuang Israel, F16.

Sukarelawan Malaysia yang hadir di perhimpunan itu turut berada di barisan hadapan untuk menyaksikan sendiri bagaimana sokongan rakyat Palestin terhadap pemimpin mereka walaupun sebelum ini Mashaal berada di luar Palestin sejak dilahirkan di Silwad, utara Ramallah.

Apa yang menarik mengenai Mashaal ialah, dia berjaya memimpin Hamas dari luar Gaza. Malah, dia juga berjaya menukar lebih 1,000 rakyat Palestin yang ditahan di Israel dengan seorang tentera Zionis, Gilad Shalit yang ditawan di selatan Gaza pada tahun 2006.

Kehadiran 120 sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 memang ditunggu-tunggu rakyat Palestin. Mereka memang sudah mengenali Malaysia melalui Aman Palestin yang mula menghulurkan sumbangan rakyat Malaysia sejak tahun 2004 lagi.

“Melalui sumbangan rakyat Malaysia, kami berjaya salurkan kesemuanya untuk pembangunan Palestin terutama di Gaza. Melalui misi ini sahaja, sejumlah RM1.8 juta berjaya disalurkan untuk pembangunan Gaza.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121223/re_14/Sukarelawan-penguat-semangat-Gaza#ixzz2HYQ7eDLn
© Utusan Melayu (M) Bhd 



video ni masa perhimpunan Hamas.Aku diantara ratusan ribu manusia yang membanjiri dataran itu.Aku rindu Palestin...sungguh...

No comments: